Sesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.
Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan
istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada
membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat,
beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga
biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab
bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari
menepati tuntutan Islam?
1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap
seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya
kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita
inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun
musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa.
Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang
setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi". Sayidina
Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia
akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh
ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa
Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang
yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan
ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.
2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan
menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak
memahaminya. Sabda nabi SAW,
"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka."
(Hadis Riwayat Muslim)
(Hadis Riwayat Muslim)
Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan
seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di
luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya,
tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada
berkata-kata.
Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang
pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan
teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya
aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku
telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku
tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah
mengetahuinya."
Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak
meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah
diketahui.
3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.
Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah
bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah
dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan.
Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang
yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh
bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.
Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang
baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri
pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan
kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya
serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu
ketahui."
Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan
muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah
bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.
Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak
ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan
ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab,
"Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."
No comments:
Post a Comment