Friday, December 14, 2012

ADAB BERCAKAP DENGAN IBU BAPA


1. Bercakap dengan suara yang lembut dan sopan
2. Segera menyahut panggilan mereka
3. Merendahkan suara apabila bercakap
4. Memandang muka mereka apabila bercakap
5. Bercakap tentang perkara yang menggembirakan hati kedua ibu bapa kita

Thursday, December 13, 2012

ADAB TIDUR

Cara tidur yang betul ialah dengan mengiringkan badan ke kanan manakala tangan kanan menyokong kepala. Mengiringkan badan ke kiri semasa tidur dikhuatiri menekan perut. Ini mengganggu proses pencernaan . Ia juga menekan jantung hingga mempengaruhi kemampuan jantung , menggganggu irama dan kemampuannya mengepam darah

Monday, December 10, 2012

10 adab dalam menuntut ilmu - panduan dari Imam al-Ghazali


Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi. 

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.
Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.
Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.
Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.
Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.
Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.
Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

Sunday, December 9, 2012

MUSLIMAH ITU





Ketika hayatnya sebagai anak, dia membuka pintu syurga untuk ayahnya. Ketika hayatnya sebagai seorang isteri, dia menyempurnakan agama suaminya. Ketika hayatnya sebagai seorang ibu, syurga di bawah telapak kakinya. 

                                       - Sheikh Akram Nadawi





1. Doa wanita lebih maqbul dari lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat dari lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari ayah dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah itu lebih baik dari 1,000 orang lelaki yang tidak soleh.

3. Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 orang wali.

4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik dari 70 lelaki soleh.

5. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang senantiasa menangis kerana takutkan Allah SWT dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

6. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan dari anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail AS

7. Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarah (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya membaca "Alhamdulillahi'alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah". Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa."; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui shiratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan AllahTa'ala mengangkatnya ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya.

8. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW.) di dalam syurga.

9. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggung jawab, maka baginya adalah syurga.

10. Dari 'Aisyah r.ha. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu dari anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka."
11. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

12. Apabila memanggil akan engkau kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

13. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredhainya. (serta menjaga sembahyang dan puasanya)

15. 'Aisyah r.ha. berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?" Jawab baginda, "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki ?" Jawab Rasulullah SAW. "Ibunya".

16. Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.

17. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (10,000 tahun).

18. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

19. Dua rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

20. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

21. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

22. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah SWT

23. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

24. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

25. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.
26. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya dari badannya (susu badan) akan dapat satu pahala dari tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

27. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

28. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

29. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

*****

ADAB BERSEMBANG


altSesungguhnya Islam agama yang indah. Setiap perkara mempunyai adab dan aturannya yang tersendiri. Semuanya diajarkan Nabi SAW sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti masuk dan keluar tandas.

Pernah terjadi beberapa orang Musyrikin mengejek Salman al-Farisyi r.a., kata mereka,
"Nabi kamu mengajarkan semua benda sehingga perkara berkaitan istinjak. Kata Salman, "Memang benar! Nabi kami menegah daripada membuang air besar atau kecil dalam keadaan menghadap kiblat, beristinjak menggunakan tangan kanan, beristinjak kurang daripada tiga biji batu." (Hadis Riwayat Muslim)

Antara adab yang selalu dipandang ringan oleh umat Islam adalah adab bersembang. Apakah perbualan atau cara kita bersembang setiap hari menepati tuntutan Islam?

1. Suara yang rendah dan lembut.
Menurut Syeikh Abdul Fatah Abu Ghuddah, meninggikan suara terhadap seseorang itu menunjukkan kurangnya hormat kita kepada mereka. Seeloknya kita bercakap dengan kadar yang sederhana, sebagaimana yang kita inginkan apabila mendengar daripada seseorang.
Adab ini perlu diamalkan sama ada ketika bersama sahabat mahupun musuh, orang yang dikenali mahupun tidak, orang kecil mahupun dewasa. Lebih- lebih lagi ketika bersama kedua-dua orang tua dan orang yang setaraf dengan mereka.
Menurut Abdullah bin Zubair r.a., selepas turunnya ayat ke-2 surah al-Hujurat iaitu "Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi".  Sayidina Umar r.a. terus berubah sikapnya. Sekiranya bercakap dengan Nabi, dia akan bercakap seperti orang berbisik-bisik sehingga terpaksa disuruh ulang beberapa kali kerana tidak dapat difahami .
Imam Zahabi menyebut, "Jikalau orang tidak mengenali siapa Muhammad bin Sirin (ulama Tabi'in), mereka akan menyangka dia seorang yang sakit kerana terlalu rendah suaranya apabila bercakap dengan ibunya." Lihatlah, betapa beradabnya golongan salaf dalam berkata-kata.

 2. Tidak menunjuk pandai.
Antara adab bersembang juga, kita tidak memalukan sahabat kita dengan menzahirkan kepada mereka apa yang kita ketahui sedangkan mereka tidak memahaminya. Sabda nabi SAW,

"Berbicaralah kepada manusia menurut kadar kemampuan akal mereka."
(Hadis Riwayat Muslim)

Contohnya jikalau kita seorang pakar ekonomi dan berhadapan dengan seorang petani kampung, elakkan bercakap tentang kerja kita yang jauh di luar bidang mereka serta sukar difahami dengan mudah. Sebaik-baiknya, tunjukkanlah perhatian kepada mereka dan lebihkan mendengar daripada berkata-kata.

Seorang Tabi'in yang terkenal iaitu Imam Ata' bin Abi Rabah berkata, "Seorang pemuda menceritakan kepadaku sebuah kisah. Aku mendengarnya dengan teliti seolah-olah aku tidak pernah mendengarnya sebelum ini. Sebenarnya aku telah mendengar kisahnya itu sebelum dia dilahirkan lagi."
Khalid bin Safwan berkata, "Jikalau seseorang bercerita dan aku telah mendengarnya sebelum ini, atau perkara itu telah kuketahui, aku tidak akan menyampuknya. Aku bimbang dia akan menyedari yang aku telah mengetahuinya."

Begitulah cara ulama-ulama menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak meringan-ringankan kata-kata seseorang walaupun perkara tersebut sudah diketahui.

3. Biarkan mereka menghabiskan ucapan.

Sekiranya kita musykil tentang sesuatu yang diperkatakan, hendaklah bersabar sehingga seseorang menghabiskan ucapannya. Kemudian, soallah dengan adab dan berhemah. Jangan memotong di tengah-tengah percakapan. Ia akan menghilangkan adab serta menimbulkan rasa tidak senang orang yang sedang bercakap. Melainkan ketika dalam kelas pengajian, kita boleh bertanya dan berbincang sekiranya guru mengizinkan.

Menurut Ibrahim bin al-Junaid, "Belajarlah cara mendengar yang baik sepertimana kamu belajar cara bercakap yang baik. Antara ciri pendengar yang baik juga adalah membiarkan seseorang menghabiskan kata-katanya, bercakap menghadap tubuhnya dan bertentangan wajahnya serta tidak menyampuk sekiranya dia membicarakan sesuatu yang sudah kamu ketahui."

Nabi SAW apabila diseru seseorang, Baginda tidak sekadar memalingkan muka bahkan menghadapkan seluruh tubuhnya kepada orang tersebut. Inilah bukti keindahan pekerti Rasulullah SAW.

Sama-samalah kita mengamalkan adab yang indah ini. Walaupun nampak ringan dan kecil, pasti ada kelebihan pada setiap amalan yang dianjurkan ulama-ulama Islam. Kata pepatah Arab, 

"Jangan kamu memandang ringan benda yang kecil, sesungguhnya gunung itu terhasil daripada debu-debu yang halus."

10 SIFAT TERPUJI

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
"Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain".
                                                                                                                                 Riwayat Muslim 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Akhlak berasal dari perkataan al-khuluq. Al-khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam dalam hadisnya yang bermaksud :"Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia".

Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : "Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik)." 
                                                                                                                    (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Aisyah r.ha. berkata, "Saya telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'."                                                          (Hadis Riwayat Abu Daud)

Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :  "Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan." 
                                                                                                                   (Hadis riwayat Ad-Dailami).

Jabir ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya."
                                                                                                                     (Hadis Riwayat Tirmidzi).
Sahabat yang dimuliakan,

Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman. Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Terdapat 10 ciri-ciri akhlak yang mulia akan menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang mukmin yang benar.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Bersifat warak dan meninggalkan perkara yang syubhat

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.                                                                                               (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat warak adalah sebagaimana  Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan".

Kedua : Memelihara penglihatan.

Seseorang mukmin itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah SWT maksudnya :

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".                                                (Surah an-Nur ayat 30).

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu."
                                                                                                                      (Hadis Riwayat At Tabrani)
Ketiga : Memelihara Lidah

Seseorang mukmin itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, memfitnah, berdusta, berbohong, memaki-hamun dengan perkataan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba.

Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. "Ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang."

Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri. Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (buruk) lidahnya"
                                                                                                                         (Hadis Riwayat Tarmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bukanlah ia seorang mukmin (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji."                                      (Hadis Riwayat Tarmizi)

Sabda baginda lagi maksudnya : "Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya."
                                                                                                                        (Hadis Riwayat Baihaqi)
Keempat : Bersifat Pemalu.

Seorang mukmin mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Iman itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti ditengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman". 
                                         (Hadis Riwayat Muslim, bab menerangkan bilangan cabang iman, bil. 153)

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: "Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

Kelima : Bersifat Lembut dan Sabar

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang mukmin ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas 'amal Islami sehingga himmah dan lemah lembut mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan".                (Surah al-Syura ayat 43)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?".
                                                                                                                              Surah an-Nur ayat 22)
"Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan".
                                                                                                                          (Surah al-Furqan ayat 63)

Sabda Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam yang bermaksud : "Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya."

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: "Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu."

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Apabila Allah Subhanahuwata'ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu". Mereka menjawab: "Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut", lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal"

Keenam : Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang mukmin itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah SWT dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya.

Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.

Rasulullah Sallallahu' Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta".
                                                                                                       (Hadis Riwayat Muttafaqun 'alaihi)

Ketujuh : Bersifat rendah diri

Seseorang mukmin mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu'Alaihi Wasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). 

Baginda bersabda maksudnya :"Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur."
                                                                                                                      (Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadis qudsi Allah berfirman maksudnya : "Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya".
                                                                                                               (Hadis Qudsi Riwayat Muslim)

Kelapan : Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.

Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah SWT maksudnya :

"Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang".
                                                                                                                      (Surah al-Hujurat ayat  12)
Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya : "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata."
                                                                                                                          (Surah al-Ahzab ayat 58)
Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
"Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesembilan : Bersifat pemurah.

Seorang mukmin mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. 

Di dalam al-Quran al-Karim sendiri terdapat banyak ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.Firman Allah SWT maksudnya : "Orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebagian dari rezeki  yang kami berikan kepada mereka."                                                                                                                                                    (Surah al-Anfal ayat 3)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai".                                                                                                 (Surah al-Baqarah ayat 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu'Alaihi Wasallam maksudnya : "Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : 'Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)'. Dan salah satu lagi berkata ; 'Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian."
                                                                                                    (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesepuluh : Qudwah Hasanah  (Suri teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang mukmin mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. 

Firman Allah swt yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah "                                                             ( Surah al-Ahzab Ayat 21 )

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita beramal dengan 10 ciri-ciri akhlak mulia dan terpuji seperti yang dinyatakan diatas. Akhlak yang mulia dan terpuji adalah asset yang besar di dunia dan akhirat. Jika di dunia kita akan dikasihi oleh  manusia dan akan menjadi ikutan dan jika di akhirat akhlak yang mulia dan terpuji adalah menjadikan amalan yang memberatkan timbangan (mizan) kita di sana. Jadikanlah akhlak yang terpuji ini sebagai pakaian hidup kita dan menjadikan kita hamba Allah SWT yang diredai-Nya di dunia dan akhirat.

إِنَّا أَخْلَصْنَاهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى الدَّارِ
Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi, yaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat
(Surah As-Suad
38: Ayat ke 46)
 

Kemuliaan Akhlak Nabi Muhammad SAW Yang Patut Dicontohi

Assalamualaikum w.b.t , 

Saya tertarik pada satu kisah teladan Nabi teragung kita, Nabi Muhammad SAW. Memang banyak kisah teladan yang dapat dicontohi daripada baginda. Tapi saya mahu berkongsi kisah teladan yang satu ini. Mungkin ada yang pernah membaca atau terdengar di mana-mana tentang kisah teladan ini. Mungkin juga ada yang belum pernah baca. Jadi sama-samalah kita membacanya di bawah:



Alkisah, hiduplah di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta, hari demi hari ia lalui dengan selalu berkata “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya”. 
Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam melakukannya hingga menjelang Baginda Sallallahu’alaihi wasallam wafat. Setelah kewafatan Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta tersebut. 
Suatu hari Abu Bakar, Radi-Allahu anhu, as-Siddiq berkunjung ke rumah anaknya Aisyah Radi-Allahu anha. Beliau bertanya kepada anaknya, “anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan”, Aisyah Radi-Allahu anha menjawab pertanyaan ayahandanya, “Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja”. “Apakah itu wahai anakku?”,tanya Abu Bakar Radi-Allahu anhu. Maka Aisyah Radi-Allahu anha menjawap, “Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada di sana”, kata Aisyah Radi-Allahu anha. 
Keesokan harinya, Abu Bakar Radi-Allahu anhu membawakan makanan dan menemui pengemis Yahudi buta tersebut. Pengemis Yahudi buta ini selalu berteriak-teriak dan berkata kepada orang yang mendekatinya. Abu Bakar Radi-Allahu anhu pun hairan, kenapa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari.
“Wahai saudaraku..janganlah kalian mendekati Muhammad. Jangan sampai kalian terpedaya dengan tipu dayanya. Dia itu orang gila. Tukang sihir. Suka menyebarkan fitnah dengan agama barunya..!!” Kata-kata ini selalu meluncur dari mulutnya tiada henti setiap hari. Perkataan yang buruk yang merendahkan seorang nabi. 
Sampai sahaja Abu Bakar Radi-Allahu anhu di hadapan pengemis itu lantas memberikan makanan, pengemis itu mengherdik, “Siapa kau..!!” “Aku adalah orang yang setiap hari memberi makan kamu..” 
Abu Bakar Radi-Allahu anhu meyakinkan bahawa beliau adalah orang yang setiap hari memberikan ia makanan. Akan tetapi pengemis Yahudi buta itu tidak percaya kerana orang yang selalu memberinya makanan jauh lebih lembut dan lebih sabar dalam menyuapinya. 
“Bukan..kamu bukan orang yang setiap hari memberiku makan..! Apabila dia kesini, aku tidak pernah kesusahan memegang makananku, aku juga tidak susah untuk memakannya bahkan dia telah melembutkan makananku sebelum masuk ke mulutku..” 
Dengan linangan air mata kerana terharu mendengar akhlak dari Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu memberi makan dan menyuapi mulut dari orang yang setiap hari kata dari mulut itu hanyalah ucapan kotor dan hina yang merendahkan dan melecehkan dirinya. Ucapan kotor dan umpatan dibalas dengan suapan makanan dengan kasih sayang. Allahu Akhbar! 
Kemudian Abu Bakar Radi-Allahu anhu menjawab “Aku memang bukan orang yang setiap hari memberimu makan. Akan tetapi, Beliau tidak akan datang lagi ke sini untuk memberimu makan..” 
Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata. “Apa salahku sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi? Sampaikan permintaan maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi..” 
“Beliau sudah meninggalkan dunia ini . Aku adalah Abu Bakar Radi-Allahu anhu sahabat Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam adalah orang yang setiap hari menyuapimu..” 
Seketika itu juga linangan air mata pengemis Yahudi buta makin deras membasahi pipinya lantas dia menyesal kerana orang yang selama ini diumpat dan dilecehkan harga dirinya adalah orang yang setiap hari dengan sabar menyuapinya. Saat itu juga, pengemis itu mengucapkan dua kalimat Syahadah dan masuk Islam di hadapan Abu Bakar Radi-Allahu anhu.


Dari cerita ini, jelas sudah betapa tingginya akhlak Nabi Sallallahu’alaihi wasallam. Beliau tidak pernah membenci orang yang mengumpatnya. Bahkan Nabi Sallallahu’alaihi wasallam tidak pernah membenci orang Yahudi atau Nasrani. Jika mahu dibanding dengan kita memang tidak terbanding.
Kita ni pula saling kutuk-mengutuk dan mengumpat saudara seIslam kita hanya disebabkan beberapa perkara remeh berlaku. MasyaAllah. Moga kita masih diberi kesempatan untuk berubah ke arah yang lebih baik. InsyaAllah kita semua mampu jika kita sentiasa berusaha ke arah itu. Mari terus berusaha!

TANGGUNGJAWAB NABI MUHAMMAD S.A.W

Walaupun Baginda telah menjalankan semua yang di perintahkan Allah kepadanya, Baginda sendiri khuatir sekiranya Baginda belum menjalankan tugasnya sebagai pesuruh Allah. Baginda juga takut kalau ada lagi perintah Allah yang belum baginda sampaikan kepada umatnya. oleh itu semasa Baginda menunaikan haji Wada', Baginda luangkan masanya untuk berpidato. Waktu itu matahari di padang Arafah sungguh panas terik sedangkan badan Nabi sendiri dalam keadaan kurang sihat. Selepas berpidato tubuh Rasulullah menggigil dan Baginda berkata '' Nanti di hari pembalasan , kalian akan ditanya oleh Allah tentang apa yang telah aku perbuat pada kalian, jika kalian ditanya nanti, apa jawapan kalian?'

Para sahabat terdiam dan mereka menitiskan air mata. Baginda melanjutkan, ' Bukankah telah kujalani hari-hari bersama kalian dengan lapar, bukankah telah kutaruh beberapa batu di perutku kerana menahan lapar bersama kalian, bukankah aku telah bersabar menghadapi kejahilan kalian, bukankah telah kusampaikan pada kalian wahyu dari Allah?'para sahabat menjawab 'Benar ya Rasulullah!! Benar ya Rasulullah!! Benar ya Rasulullah!!' Rasulullah pun mengangkat kepalanya dan menghadapkan wajahnya ke atas dan berkata ' Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, Ya allah saksikanlah!!'

Rasulullah meminta kesaksian Allah tentang bukti tanggungjawab Rasulullah kepada Allah. berkenaan dengan tanggungjawab Rasulullah sesama manusia ingin dibuktikan pada masa yang lain. Suatu hari para sahabat sedang berkumpul dan Rasulullah menyampaikan khutbahnya ' Mungkin sebentar nanti Allah akan memanggilku, aku tak ingin di padang mahsyar nanti ada di antara kalian yang ingin menuntut balas kerana perbuatanku terhadap kalian. Jika ada perbuatanku yang menggores perasaan kalian, katakanlah!!' apabila mendengar ucapan Rasulullah yang seperti itu para sahabat juga terdiam sebab mereka menganggap Rasulullah tidak pernah bersalah terhadap mereka. Tiba-tiba seorang sahabat berkata 'Ya Rasulullah , ketika engkau memeriksa barisan di saat ingin pergi berperang dahulu, kau memukulku dengan tongkatmu utk meluruskan posisi aku dalam barisan itu. Aku tak tahu apakah engkau sengaja atau tidak tetapi aku ingin menuntut qisas hari ini.' Para sahabat lain hairan mendengar kata-kata sahabat ini dan tidak menyangka ada orang yang berani berkata demikian. umar terus berdiri dan bersedia utk "menyingkirkan" orang itu daripada perhimpunan tersebut.

Nabi melarangnya lalu menyuruh Bilal mengambil tongkat di rumah Baginda. Siti Aisyah yang berada di rumah Rasulullah berasa hairan ketika Rasulullah meminta Bilal mengambil tongkatnya. Setelah Bilal menyerahkan tongkat itu, Rasulullah terus memberikan tongkat tersebut kepada sahabat itu dan kemudian Baginda menyingkapkan baju sehingga terlihat perutnya. " Lakukankanlah!" kata Rasulullah kepada sahabat itu. Para sahabat yang lain menanti dengan berdebar-debar apa yang akan dilakukan oleh sahabat itu tetapi apa yang dibayangkan oleh para sahabat itu tidak terjadi.. Sahabat terus telah mencium perut dan memeluk Baginda sambil menangis. " tujuanku hanyalah untuk memelukmu dan merasakan kulitku bersentuhan dengan tubuhmu! aku ikhlas terhadapmu wahai Rasulullah." Pada saat itu juga terdengar teriakan Allahu Akbar berkali-kali dalam perhimpunan tersebut. Sahabat tersebut nampaknya dapat merasakan perhimpunan bersama Rasulullah itu merupakan pertemuan yang terakhir. oleh itu, dia ingin memeluk Rasulullah.

 KESIMPULAN DARI KISAH DI ATAS :

Begitulah tanggungjawab Rasulullah terhadap Allah dan umatnya. Meskipun Baginda telah dijamin oleh Allah tidak berbuat dosa, tetapi baginda sendiri terus berusaha menghapuskan kesalahannya walau sekecil mana pun kerana menyakiti hati mahupun fizikal orang lain merupakan perbuatan yang tercela. Allah tidak akan memaafkan kita sebelum mereka yang disakiti memaafkan kita. Rasulullah memberi contoh agar kita berhati-hati terhadap orang yang mungkin kita secara tidak sengaja kita sakiti sedang dia tidak redha perbuatan kita itu..

AKHLAK MULIA