Dalam
penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali,
beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam
penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas
pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam
diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah
atau di peringkat pengajian tinggi.
Pertama,
menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu
amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa
bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen
yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar
tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu
bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah
najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat
kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh
merosakkan manusia.
Kedua,
para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang
berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya
terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat
menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan
fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh
Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah
sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya”
(al-Ahzab:4).
Oleh
yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen
yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu.
Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara
sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau
memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak
berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya
diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada
lagi yang sampai ke ladang.
Ketiga,
para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual
dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan
berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang
mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri,
baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan
kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru
seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan
antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang
tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang
ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa
terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat,
orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu
mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan
manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara
rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang
baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang
mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang
disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji
perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat
tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan
penyelidikan ilmu.
Kelima,
seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji
melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor
usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk
meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor
usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang
itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya
berdasarkan kemampuannya.
Keenam,
tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan
yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan
tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri
seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai
faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti
seseorang.
Ketujuh,
seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai
dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam
ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang
demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan
tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman
manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap
cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun
dan terancang.
Kelapan,
seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu
yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan
faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam
kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang
dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan
kepada umat manusia.
Kesembilan,
para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai
ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan
takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang
bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut
menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan
tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era
globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting
bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan
) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang
disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba
canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“
Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa
yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh,
setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya
mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk
sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar
tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk
mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di
antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan
garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam
kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah
kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh
ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar
pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi
faedah besar kepada umat sejagat.
No comments:
Post a Comment